Maklumat Korporat

Perutusan Pengetua

Selamat datang ke Ninjakeris

Menghubungkan Dua Tamadun Dunia

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Terima kasih kerana sudi hadir ke laman rasmi Ninjakeris. Sebagai sebuah pusat pendidikan dalam talian bahasa Jepun, kami di Ninjakeris beriltizam untuk menyampaikan pengetahuan berkaitan Jepun dengan konsisten kepada seluruh warga Ninjakeris.

Sebagaimana semua ketahui, Malaysia dan Jepun merupakan rakan perdagangan yang telah lama menjalin hubungan diplomatik sejak dahulu lagi, dan hubungan tersebut diperkukuhkan dengan pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur oleh Kerajaan Malaysia 🇲🇾 pada tahun 1983.

Dasar Pandang ke Timur atau Look East Policy memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk masyarakat Malaysia yang mandiri dan berbudi pekerti, dengan mengambil masyarakat Jepun sebagai contoh terdekat, yang masih mengekalkan budaya Timur walau menjuarai arus globalisasi.

Ke hadapan, negara kita berhadapan dengan pelbagai cabaran geopolitik, ekonomi dan pendidikan. Disinilah Ninjakeris memainkan peranan, di mana kita melihat bahasa boleh berfungsi sebagai agen perubahan dalam memperkukuh hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Di samping itu, pertukaran pengetahuan bahasa juga boleh memberi manfaat terhadap usaha pertukaran teknologi antara negara Jepun dan Malaysia. Umum mengetahui negara Jepun lebih terkehadapan dalam bidang teknologi. Penguasaan terhadap bahasa Jepun mampu membawa kita meneroka dan menguasai relung pengetahuan yang jarang kita sentuh dan santuni sebelum ini.

Dalam masa yang sama, sebagai sebuah negara Islam, sebahagian besar rakyat Malaysia mempunyai kelebihan dalam menguasai agama Islam. Pengetahuan dalam bahasa Jepun mampu membenarkan kita berkongsi nikmat Iman dan Islam bersama rakyat Jepun melalui kaedah dakwah yang efektif sebagaimana yang dijalankan oleh Haji Zulkarnain Hasan Basri, salah seorang rakyat Malaysia di negara matahari terbit berkenaan.

Haji Zulkarnain telah menubuhkan Japan Da'wah Centre yang kini menjadi tempat mempelajari Islam dalam kalangan rakyat Jepun yang tinggal di sekitar Osaka. Ini membawa saya kepada satu kesimpulan, di mana dunia hari ini semakin kusut, dan manusia memerlukan Islam sebagai penyelesaian.

Menawan bumi matahari terbit,

Muhamad Firdaus Ali
Pengarah Urusan/Pengetua

Hakcipta Terpelihara © Ninjakeris Academy (RA0075488-W).
Dibangunkan oleh Grocern.